BPHB Komited Teruskan Legasi, Perkukuh Bintulu Port
BINTULU: Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Anuar Ismail komited meneruskan legasi kepimpinan mantan penyandang jawatan itu, Dato Ruslan Abdul Ghani dalam memperkukuh Bintulu Port.
Anuar berkata, penyerahan amanah daripada Ruslan kepadanya membawa tanggungjawab besar untuk memastikan asas kukuh yang telah dibina terus diperkembangkan.
Menurutnya, pengalaman dan pencapaian Ruslan sepanjang menerajui BPHB menjadi asas penting kepada kesinambungan kepimpinan baharu.
“Pada malam ini, saya amat menyedari tanggungjawab yang datang bersama peranan ini.
“Dalam banyak aspek, penyerahan amanah daripada Dato Ruslan kepada saya merupakan satu kesinambungan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penghargaan BPHB di Hotel Imperial Bintulu pada Isnin.
Anuar berkata, Ruslan telah meletakkan asas yang kukuh dan beliau amat menghargai segala sumbangan yang telah diberikan sepanjang menerajui BPHB.
“Tanggungjawab saya dan pasukan saya adalah untuk membina dan mengembangkan legasi serta tradisi yang telah dibina oleh Dato Ruslan,” ujarnya.
Beliau berkata, pengurusan BPHB akan terus memperkukuh organisasi, menambah baik perkhidmatan kepada pelanggan serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negeri, rakan perniagaan dan komuniti.
Tambah Anuar, usaha itu penting bagi memastikan Bintulu Port terus berkembang, lebih berdaya saing dan memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan Sarawak.
Sementara itu, Ruslan yang kini menyertai Sarawak Energy berkata perpindahannya bukan pengakhiran hubungan dengan Bintulu Port, sebaliknya membuka peluang baharu untuk kerjasama antara kedua-dua organisasi.
“Perpindahan saya dari Bintulu Port ke Sarawak Energy bukanlah pengakhiran hubungan kita.
“Sebaliknya, ia merupakan permulaan kepada peluang untuk pasukan kita bekerjasama menerusi pelbagai inisiatif,” katanya.-EDISI UKAS