MPKS Sedia Tender Fasa 2 Samarahan Boulevard Bernilai RM70 Juta
KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) bakal membuka tender bagi Fasa 2 pembangunan Samarahan Boulevard dengan siling peruntukan sekitar RM70 juta pada tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu IRSDA, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, proses tender berkenaan akan dilaksanakan selepas Fasa 1 projek tersebut disiapkan.
“Dan selepas Fasa 1, saya difahamkan tahun ini agensi pelaksana Majlis Perbandaran Kota Samarahan akan membuka lagi tender untuk Fasa 2. Fasa 2-nya lebih kurang kalau tak silap saya, siling dibuat oleh SFS adalah RM70 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu IRSDA Bilangan 2 Tahun 2026 di sebuah hotel termuka, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, Fasa 1 Samarahan Boulevard melibatkan kos kira-kira RM25 juta dan kini sedang dalam pelaksanaan walaupun mengalami sedikit kelewatan.
Katanya, keseluruhan pembangunan Samarahan Boulevard bernilai kira-kira RM127 juta dan dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
Dato Sri Abdul Karim berkata, pembangunan boulevard itu dirancang untuk menyediakan ruang yang lebih luas bagi penganjuran program rasmi serta acara berskala besar di kawasan Samarahan.
Menurutnya, Samarahan Boulevard juga bakal menjadi lokasi alternatif bagi penganjuran acara besar yang sebelum ini banyak diadakan di pusat bandar Kuching.
Beliau berkata, keperluan menyediakan lokasi baharu itu semakin penting berikutan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku apabila acara berskala besar diadakan di Padang Merdeka, Kuching.
Katanya, pembangunan tersebut turut akan menyediakan ruang untuk aktiviti riadah dan program masyarakat, selaras dengan perkembangan pesat Kota Samarahan.
Samarahan Boulevard dijangka menjadi salah satu kemudahan awam utama yang menyokong pertumbuhan kawasan berkenaan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.-EDISI UKAS