Semangat Muafakat, Keharmonian Masyarakat Jemoreng Terus Diperkukuh
MATU: Semangat muafakat, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Jemoreng perlu terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan komuniti serta kesinambungan pembangunan setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, perpaduan merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan bergerak seiring ke arah matlamat bersama.
Menurut beliau, setiap lapisan masyarakat perlu mengutamakan semangat kebersamaan serta mengelakkan perselisihan yang boleh menjejaskan keharmonian komuniti.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Bilik Gerakan Operasi Pilihan Raya melibatkan tujuh ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuala Matu, Sok, Sekaan Besar, Tian, Sekaan Kecil, Bawang dan Jemoreng pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan mengamalkan pendekatan matang dan berhemah dalam menangani perbezaan pandangan tanpa mencetuskan pertelagahan atau perpecahan.
Katanya, semangat muafakat dan kerjasama di peringkat akar umbi penting dalam memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara seiring dengan agenda pembangunan Sarawak. –EDISI UKAS