Sarawak Pavilion & Services Antara Tarikan Utama SKS Kuching
KUCHING: Sarawak Pavilion & Services menjadi antara tarikan utama Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kuching yang berlangsung selama dua hari bermula Selasa di Metro City, Matang, di sini.
Pavilion berkenaan memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat mengenai agenda pembangunan Sarawak, mengakses perkhidmatan kerajaan secara langsung serta memahami pelaksanaan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
Perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada Selasa.
Antara pengisian pavilion tersebut termasuk pameran pembangunan Bahagian Kuching, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pelaksanaan dan impak dasar kerajaan, selain pencapaian serta hala tuju strategik pembangunan Sarawak.
Selepas perasmian, Datuk Dr Abdul Rahman turut meluangkan masa mengunjungi gerai jualan yang menampilkan pelbagai produk dan hasil kraftangan usahawan tempatan, selain menyampaikan apron kepada peniaga sebagai tanda sokongan terhadap penglibatan mereka dalam program berkenaan.
Beliau turut berkesempatan mengadakan demonstrasi masakan bersama pengunjung, sekali gus memeriahkan suasana di Kuching Kitchen and Sales yang menjadi platform mempromosikan juadah serta produk usahawan tempatan.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), Datu Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan,
Pengarah Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Datu Grace Huong Siew Hung, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Mursi serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
SKS Bahagian Kuching yang merupakan siri ke-12 dan terakhir bagi tahun 2026 akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Rabu.
Penganjuran edisi terakhir itu melengkapkan jelajah SKS ke seluruh Sarawak yang bermula di Limbang pada April lalu sebagai usaha mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan rakyat. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira
Foto: Shahril Haqim, Asyafiee & George S.Embie