Komuniti Pakan Diingatkan Berwaspada Terhadap Hasutan Media Sosial
PAKAN: Masyarakat di Pakan diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih dan hasutan yang disebarkan melalui media sosial, sebaliknya mengamalkan sikap berhati-hati dalam menilai serta berkongsi kandungan bagi memelihara keharmonian komuniti.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom berkata, penyebaran maklumat tidak tepat dan berunsur provokasi berpotensi menimbulkan perselisihan serta menjejaskan hubungan baik yang telah terjalin dalam kalangan masyarakat.
“Kita perlu menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan hasutan sehingga boleh menjejaskan hubungan baik serta keharmonian masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Santai Bersama Rakyat di Rumah Anthony Sungai Merah, Dayu Pakan, pada Isnin.
Menurutnya, keharmonian yang sekian lama dipelihara di Pakan perlu terus dipertahankan dan tidak seharusnya terjejas akibat penyalahgunaan media sosial, khususnya apabila pengguna bertindak menyebarkan kandungan tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu.
Tan Sri Dato Sri William turut menegaskan bahawa setiap pengguna media sosial mempunyai tanggungjawab terhadap kandungan yang dikongsikan, termasuk mengelakkan penyebaran fitnah, provokasi dan maklumat yang boleh mencetuskan ketegangan.
Katanya, perbezaan pandangan perlu ditangani secara matang dan berhemah, tanpa membiarkan pengaruh media sosial merenggangkan hubungan sesama masyarakat.
Sehubungan itu, penggunaan media sosial secara bertanggungjawab serta amalan menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi perlu menjadi budaya masyarakat bagi memastikan perpaduan dan keharmonian komuniti terus terpelihara.-EDISI UKAS