SKS Dekatkan Perkhidmatan Kerajaan, Buka Peluang Ekonomi Rakyat
KUCHING: Program Sarawakku Sayang (SKS) terus mendapat sambutan positif daripada masyarakat kerana bukan sahaja memudahkan akses kepada maklumat dan perkhidmatan kerajaan, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memperluas pasaran serta meningkatkan pendapatan.
Manfaat tersebut dikongsikan oleh pengunjung dan usahawan yang ditemui pada SKS 2026 Bahagian Kuching di Metro City, Matang, di sini, yang merupakan siri ke-12 dan terakhir penganjuran program berkenaan bagi tahun ini.
Bagi pengunjung dari Kota Samarahan, Muhammad Syafiq Yusuf, 25, penganjuran SKS bukan sahaja menyediakan pelbagai pengisian bermanfaat kepada masyarakat, malah menjadi wadah untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Harapan saya supaya program macam ini perlu diteruskan setiap tahun untuk merapatkan lagi hubungan antara satu sama lain untuk bangsa-bangsa di Sarawak ini,” katanya ketika ditemui UKAS pada Selasa.
Sementara itu, pengunjung dari Kuching, Nellie Zaihasra, 34, mencadangkan agar penyampaian maklumat berkaitan pendidikan, khususnya urusan pendaftaran murid Tahun Satu, dipertingkatkan dalam penganjuran akan datang bagi memudahkan urusan ibu bapa.
“Sebagai ibu bapa, kami kurang mendapat maklumat mengenai cara mendaftarkan anak ke sekolah, khususnya untuk memasuki Tahun Satu. Kami terpaksa menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mendapatkan maklumat kerana perkara itu kurang diwar-warkan,” katanya.
Beliau turut berharap program turun padang seperti SKS diteruskan setiap tahun bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat akses secara langsung kepada maklumat dan perkhidmatan kerajaan.
Dalam pada itu, Zulhilmi Sali, 39, dari Kuching menyifatkan kesinambungan SKS penting bagi memastikan penduduk luar bandar dan pedalaman tidak ketinggalan dalam mendapatkan maklumat mengenai pembangunan serta inisiatif bantuan kerajaan.
“Program ini perlu diteruskan setiap tahun kerana mungkin terdapat maklumat dan inisiatif baharu yang perlu diketahui rakyat, khususnya mereka yang berada di luar bandar dan kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau turut berharap penyampaian maklumat dan bantuan kerajaan dapat diperluas ke kawasan pedalaman bagi memastikan manfaat pembangunan dinikmati secara menyeluruh.
Dari sudut ekonomi, usahawan tempatan, Hadijah Mohamad Bujang, 68, berkata penyertaannya dalam dua siri SKS di Samarahan dan Kuching telah membantu meningkatkan jualan kuih kole, iaitu juadah tradisional yang semakin sukar ditemukan di pasaran.
“Program seperti ini memang digalakkan lagi kerana ia dapat membantu usahawan kecil seperti kami menjana pendapatan. Saya berharap lebih banyak program dianjurkan di pelbagai tempat dan lebih banyak peluang diberikan kepada usahawan tempatan,” katanya.
Hadijah yang masih aktif berniaga pada usia 68 tahun turut menasihatkan usahawan kecil agar terus cekal menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.
Maklum balas positif serta cadangan pengunjung dan usahawan itu mencerminkan kepentingan SKS sebagai wadah interaksi langsung antara kerajaan dengan rakyat, di samping memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam, memperluas peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat di seluruh Sarawak. -EDISI UKAS