Gereja Baharu BEM Kendaie Bernilai RM250,000 Bakal Jadi Mercu Tanda Komuniti
LUNDU: Komuniti Kristian di Kampung Kendaie bakal menikmati kemudahan rumah ibadat yang lebih selesa menerusi pembinaan bangunan baharu Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) bernilai RM250,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pembinaan gereja baharu itu bukan sekadar pembangunan fizikal, malah bakal menjadi mercu tanda komuniti serta tempat beribadat yang dapat dimanfaatkan generasi masa kini dan akan datang.
Menurut beliau, bangunan gereja sedia ada telah digunakan oleh komuniti selama beberapa dekad dan kemudahan baharu itu diharapkan dapat menyediakan persekitaran lebih selesa dan kondusif kepada jemaah.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tapak Gereja BEM Kampung Kendaie di sini pada Selasa.
Billy menambah, permohonan bagi pembangunan gereja berkenaan telah dikemukakan sekitar Mac lalu sebelum diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM250,000.
Justeru, beliau menekankan kepentingan setiap permohonan pembangunan dikemukakan secara lengkap dan mengikut prosedur bagi melancarkan proses pertimbangan serta pelaksanaan projek.
Dalam pada itu, Billy menyatakan komitmennya untuk terus membantu pembangunan rumah ibadat di kawasan Opar secara berperingkat, tertakluk kepada permohonan, kelulusan dan keperluan semasa.
Beliau turut mengingatkan pihak berkaitan supaya memastikan projek dilaksanakan mengikut perancangan dan spesifikasi ditetapkan, selain memberi perhatian terhadap dokumentasi serta rekod pemilihan kontraktor bagi memastikan tadbir urus projek dilaksanakan dengan teratur.
Pada majlis sama, Billy turut menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM1,500 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kendaie serta RM10,000 kepada Jawatankuasa Komuniti Zon 3 Biawak.-EDISI UKAS