RM135 Juta Laksana Enam Projek Infrastruktur Jalan Di Ngemah
SIBU: Sebanyak RM135 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan enam projek infrastruktur jalan di kawasan Ngemah di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, kesemua projek berkenaan kini berada pada peringkat reka bentuk oleh pihak juruperunding sebelum pelaksanaan seterusnya.
Enam projek tersebut melibatkan naik taraf Jalan Feri Sedaya sepanjang 1.2 kilometer (km), Jalan Nanga Woh/Jalan Nibong Tada (6 km), jalan simpang masuk ke Skim Penempatan Semula (SPS) Nanga Jagau (7.1 km) dan jalan dalam SPS Nanga Jagau (5 km).
Turut termasuk ialah naik taraf Jalan Nibong Tada ke Ulu Mapai sepanjang 6 km serta Jalan Temawai Sandung, Ulu Sungai Woh sepanjang 4 km.
Anyi berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach MiRRDA Siri 4/2026 di Dewan Pejabat Daerah Kanowit, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan merupakan antara usaha memperkukuh jaringan perhubungan dan akses penduduk di kawasan Ngemah, selain menyokong keperluan pembangunan sosioekonomi setempat.
Pada masa sama katanya, pembangunan sektor pertanian turut diberi perhatian menerusi Program Bantuan Tanaman Kelapa Sawit dan Program Bantuan Ternakan bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk.
Anyi turut menggesa ketua masyarakat memainkan peranan lebih aktif dalam membantu menyelesaikan isu berkaitan semakan status tanah serta memastikan data dan maklumat penduduk yang disalurkan kepada Pejabat Daerah adalah tepat dan sahih.
Menurutnya, ketepatan data penting bagi membolehkan MiRRDA merancang projek pembangunan secara lebih berkesan sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai wakil rakyat di wilayah berkenaan.
Program berkenaan turut memberi penerangan mengenai bantuan pembangunan pertanian, termasuk Program Bantuan Tanaman Kelapa Sawit yang disampaikan wakil Pejabat Pertanian Sarawak, Nicholas Jati, serta taklimat Program Bantuan Ternakan oleh Ling Embuas dan Hasnul Abdullah Buyong.-EDISI UKAS