Liputan Telekomunikasi Empawah Keutamaan Tindakan Susulan SUPP Bawang Assan
SIBU: Masalah liputan telefon mudah alih dan capaian internet yang lemah di kawasan Empawah kini diberi perhatian untuk tindakan susulan selepas dikenal pasti sebagai antara isu utama yang dibangkitkan penduduk.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, berkata pihaknya akan mendapatkan perkembangan terkini daripada pihak berkuasa dan agensi berkaitan berhubung status infrastruktur komunikasi, termasuk peluasan rangkaian gentian optik di kawasan tersebut.
Menurutnya, isu itu dikenal pasti menerusi program khidmat bergerak dari rumah ke rumah yang dilaksanakan baru-baru ini, yang turut membolehkan pihaknya mendengar secara langsung keperluan penduduk.
Beliau berkata kelemahan liputan telefon mudah alih dan capaian internet bukan sekadar menjejaskan komunikasi harian, malah berpotensi menyukarkan penduduk mendapatkan akses kepada perkhidmatan serta maklumat apabila diperlukan.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan kawasan berkenaan difahamkan telah mempunyai peluasan infrastruktur gentian optik, namun status pelaksanaan dan tahap penggunaannya oleh penduduk masih memerlukan penjelasan lanjut.
Kevin berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata isu bekalan dan tekanan air di kawasan Empawah menunjukkan perkembangan positif susulan siapnya Sistem Akuat Rawatan Air di Sungai Sadit, berdasarkan maklum balas penduduk yang ditemui.
Program khidmat bergerak tersebut turut melibatkan kunjungan ke sembilan buah rumah, termasuk kediaman seorang warga emas di Sungai Sadit yang baru dibenarkan keluar dari hospital.
Menurut Kevin, pendekatan bersemuka dari rumah ke rumah membolehkan isu setempat dikenal pasti dengan lebih dekat serta membantu pihaknya memahami keperluan sebenar komuniti untuk tindakan susulan.-EDISI UKAS