Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Duta Besar Republik Slovakia Ke Malaysia
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Slovakia ke Malaysia, Peter Spisiak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Rabu.
Peter dalam sidang media memberitahu, pertemuan tersebut membincangkan potensi kerjasama antara Slovakia dan Sarawak dalam beberapa sektor termasuk pengurusan air, pengurusan banjir, pengurusan sisa, kitar semula dan teknologi alam sekitar.
"Selain itu, terdapat juga penyelesaian kecerdasan buatan (AI), manakala Premier Sarawak turut menyebut mengenai pengurusan jalan raya.
"Kami mempunyai beberapa syarikat di Slovakia yang boleh bekerjasama dengan Sarawak dalam bidang-bidang tersebut," katanya.
Menurutnya, sebagai tindakan susulan pertemuan tersebut, pihaknya bercadang menganjurkan pembentangan secara dalam talian melibatkan syarikat-syarikat Slovakia bersama komuniti perniagaan di Sarawak.
Menurutnya, usaha tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama Sarawak Business Federation (SBF) serta kementerian dan jabatan tertentu Kerajaan Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir