Komuniti Lubok Antu Digalak Rujuk Sumber Sahih Elak Berita Palsu
LUBOK ANTU: Komuniti di daerah Lubok Antu digalak meningkatkan literasi maklumat dengan merujuk sumber rasmi dan berautoriti bagi mendapatkan maklumat sahih, khususnya berkaitan isu semasa serta dasar kerajaan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lubok Antu, Leftenan (PA) Desem Samuel berkata, kesedaran itu penting bagi memastikan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran maklumat tidak sahih di platform digital.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Taklimat Debat Isu Semasa dan Sembang Santai anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Lubok Antu di NADI Lubok Antu, pada Selasa.
Menurutnya, program yang berlangsung dari jam 2 hingga 4 petang itu turut memberi penerangan mengenai mekanisme subsidi bersasar diesel dan petrol bagi memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada rakyat serta sektor yang layak, selain mengurangkan ketirisan.
“Peserta turut diberi penjelasan mengenai kepentingan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berautoriti, khususnya berkaitan isu semasa serta maklumat subsidi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Seramai dua pegawai dan lima anggota APM Daerah Lubok Antu menyertai program berkenaan, selain tiga kakitangan JaPen Lubok Antu, dua kakitangan NADI dan enam orang awam.
Leftenan (PA) Desem berkata, usaha memperkasa literasi maklumat dalam kalangan masyarakat perlu diteruskan bagi membolehkan mereka menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi atau menyebarkannya kepada orang lain.
Beliau turut berharap kerjasama antara agensi kerajaan, agensi keselamatan dan institusi komuniti dapat diteruskan bagi memperkukuh penyampaian maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat di daerah berkenaan. - EDISI UKAS