Hampir RM800,000 Naik Taraf Jalan Dua Rumah Panjang Di Betong
BETONG: Akses lebih selamat dan selesa kini dinikmati penduduk Rumah Panjang Ulu Teru, Debak dan Rumah Panjang Temedak, Spak selepas dua projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) bernilai keseluruhan RM797,254 siap dilaksanakan.
Di Rumah Panjang Ulu Teru, projek bernilai RM298,020 melibatkan kerja menaik taraf jalan kampung melalui penurapan serta pemasangan pembetung bagi memperbaiki sistem saliran dan keadaan laluan.
Sementara itu, projek bernilai RM499,234 di Rumah Panjang Temedak melibatkan kerja menaik taraf jalan simen yang rosak kepada jalan berturap sepanjang 1.3 kilometer menuju ke rumah panjang berkenaan.
Penambahbaikan kedua-dua laluan itu memberi manfaat langsung kepada penduduk dengan memudahkan pergerakan harian, termasuk urusan menghantar anak ke sekolah, selain meningkatkan tahap keselamatan pengguna.
Wakil Pusat Khidmat Parlimen Betong berkata, kerjasama antara agensi teknikal, kontraktor dan masyarakat setempat penting bagi memastikan projek infrastruktur luar bandar dapat dilaksanakan dengan baik.
Beliau turut menggalakkan masyarakat mengemukakan cadangan pembangunan infrastruktur melalui saluran ditetapkan supaya setiap permohonan dapat dinilai dan dilaksanakan secara teratur serta telus.
Sementara itu, Tuai Rumah Panjang Temedak, Jarit Tadong berkata, jalan yang telah dinaik taraf memberi manfaat besar kepada penduduk, khususnya dalam memudahkan pergerakan serta meningkatkan keselamatan mereka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong selaku agensi teknikal dan pihak kontraktor atas pelaksanaan projek mengikut spesifikasi ditetapkan.
Kedua-dua projek berkenaan disempurnakan menerusi sesi penyerahan projek siap.
Turut hadir, Penolong Jurutera JKR Bahagian Betong, Maycheallyne Kanang, Penghulu Kawasan Spak, Penghulu Ajang, Tuai Rumah Panjang Ulu Teru, Nicholas Bryan. -EDISI UKAS