Persaraan Bukan Pengakhiran Khidmat Kepada Masyarakat
BINTULU: Persaraan daripada jawatan rasmi tidak seharusnya dilihat sebagai pengakhiran kepada khidmat seseorang pemimpin kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, pengalaman, pengetahuan dan jaringan yang dibina sepanjang tempoh seseorang pemimpin berkhidmat masih boleh dimanfaatkan untuk membantu masyarakat, khususnya dalam membimbing generasi muda.
“Berundur daripada jawatan rasmi bukan bermakna berakhirnya sumbangan seseorang kepada masyarakat.
“Pengalaman pemimpin terdahulu tetap penting untuk membimbing generasi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai kunjungan hormat ke atas bekas Temenggong Datuk Barry Yek Siew Hui, di sini pada Selasa.
Kunjungan tersebut turut disusuli penyampaian plak penghargaan sebagai tanda menghargai sumbangan Datuk Barry Yek sepanjang penglibatannya dalam pembangunan masyarakat dan Bintulu.
Johnny Pang berkata, golongan muda khususnya perlu mengambil peluang untuk belajar daripada pengalaman pemimpin terdahulu dalam memahami keperluan masyarakat serta menangani pelbagai cabaran.
Katanya, usaha membangunkan komuniti memerlukan kesinambungan dan kerjasama pelbagai pihak, bukan hanya ketika seseorang memegang jawatan rasmi.
Beliau berkata, sumbangan terdahulu dalam membangunkan Bintulu juga tidak seharusnya dilupakan kerana banyak pencapaian hari ini merupakan hasil usaha berterusan generasi sebelumnya.
“Generasi terdahulu telah menanam pokok supaya generasi selepasnya dapat menikmati teduhan. Kita tidak boleh melupakan mereka yang telah menyumbang kepada masyarakat sebelum ini,” katanya.
Ujar beliau lagi, kesinambungan pengalaman antara generasi penting bagi memastikan semangat khidmat masyarakat terus dipelihara dan diteruskan pada masa akan datang. -EDISI UKAS