UKAS, RTM Perkukuh Kerjasama Rapatkan Jurang Informasi Antara Rakyat & Kerajaan
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memperkukuh kerjasama bagi merapatkan jurang informasi antara rakyat dengan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, kerjasama tersebut penting khususnya dalam mendepani perkembangan digital yang semakin memainkan peranan dalam pelbagai urusan kerja dan penyampaian maklumat.
"Kerajaan negeri melalui UKAS dan RTM akan bekerjasama dalam banyak perkara. Sudah tentu dengan kehadiran digital dalam banyak urusan kerja kita, kita perlu meningkatkan perkara tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi pada Rabu.
Datuk Abdullah menambah, UKAS turut berhasrat mengadakan kunjungan hormat ke Angkasapuri selain melihat bahan-bahan di arkib RTM yang boleh dikongsi semula untuk tatapan generasi muda.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Ashwad Ismail memberitahu, UKAS dan RTM sentiasa bersama dalam pelbagai acara, program dan inisiatif, dan kerjasama tersebut akan terus diperkukuh.
Menurut beliau, perkembangan teknologi turut menjadi antara fokus RTM, khususnya dalam membentuk generasi muda yang mempunyai imaginasi dan azam untuk menguasai bidang teknologi.
"Pada masa yang sama, selain membina keakraban dan hubungan strategik berdasarkan apa yang telah terbina selama ini, kita mahu membentuk dan mengeratkan lagi hubungan antara UKAS dan RTM, Kerajaan Negeri dan Radio Televisyen Malaysia, serta rakan strategik kita selama ini, TVS, dalam menjayakan agenda nasional dan negeri," tegas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir