KUCHING: Kira-kira 2,800 pelajar Universiti Teknologi Sarawak (UTS) kini menerima manfaat Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES).
Naib Canselor UTS, Prof Dr Mohammad Shahril Osman berkata, penerima FTES tersebut adalah daripada keseluruhan kira-kira 5,700 pelajar di universiti berkenaan dengan 16 program yang bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)daripada 18 program prasiswazah.
"Pelajar yang menerima elaun pula adalah lebih kurang 1,500 orang, termasuk elaun perumahan dan juga stipend wang saku," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, pada Rabu.
Dalam pada itu, Dr Mohammad Shahril memberitahu, UTS sedang merangka beberapa perancangan baharu termasuk menambah baik perkhidmatan dalaman universiti, khususnya melalui penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam proses kerja.
Menurutnya, UTS pada masa sama turut merancang untuk menawarkan program-program baharu, khususnya program perubatan di mana kajian kebolehlaksanaan pada tahun ini dan berakhir pada bulan Julai lepas.
Ujar beliau, pihaknya telah melaporkan kajian tersebut kepada Lembaga Pengarah pada 17 September lepas, dan seterusnya akan dilaporkan kepada pihak Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) sebelum melaporkan kepada Premier Sarawak.
Sementara itu, kunjungan tersebut turut bertujuan memperkenalkan beliau sebagai Naib Canselor ketiga UTS selain menjemput Datuk Patinggi Abang Zohari untuk menghadiri Majlis Konvokesyen UTS pada 14 November ini bagi sesi kedua. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir