UKAS Adakan Bengkel Media Persediaan Liputan Pilihan Raya
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) akan mengadakan bengkel serta sesi libat urus bersama pengamal media di Sarawak bagi memudahkan penyaluran maklumat tepat berkaitan persediaan liputan pilihan raya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, program berkenaan akan melibatkan semua pihak media termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan dan agensi media lain.
Menurutnya, bengkel tersebut bertujuan membantu wartawan mendapatkan maklumat asas yang diperlukan bagi menghasilkan laporan berkaitan pilihan raya dan prapilihan raya.
"Kita faham Sarawak luas dan kita memahami cabaran bagi sesetengah wartawan untuk sampai ke lokasi, mendapatkan maklumat tentang calon-calon, keluasan kawasan DUN, pusat daerah mengundi, jumlah pengundi, penduduk, etnik dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi pada Rabu.
Tambahnya, bengkel berkenaan akan dilaksanakan mengikut zon bermula dari Zon Selatan, Zon Tengah sehingga Zon Utara membolehkan pihak media mendapatkan maklumat yang diperlukan.
Datuk Abdullah memberitahu, persiapan bersama media akan dibuat terlebih dahulu biarpun tarikh pilihan raya negeri belum diumumkan
Menurutnya lagi, fokus kini adalah kepada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terakhir untuk penggal kali ini.
Ujarnya, pengumuman yang ditunggu sekarang ialah pembentangan bajet Sarawak untuk tahun 2027 oleh Premier Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir