UKAS Hangout Pickleball Meriahkan Hari Bersama Komuniti UKAS 2026
MUKAH: Penyertaan 16 pasukan dalam UKAS Hangout Pickleball menyerlahkan penglibatan warga kerja dan komuniti dalam aktiviti riadah sempena Hari Bersama Komuniti UKAS 2026 di Dewan Suarah Mesra Mukah, pada Isnin.
Pertandingan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang bermula pada jam 8 malam itu melibatkan 10 pasukan lelaki dan enam pasukan wanita, sekali gus menyediakan ruang interaksi serta penglibatan bersama menerusi aktiviti sukan.
Turut mengambil bahagian dalam kategori lelaki ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dan Pegawai UKAS Bahagian Mukah, Hafizzul Abdul Halim.
Bagi kategori lelaki, pasangan Tamin dan Zakaria muncul juara, manakala pasangan Royston dan Esa di tempat kedua.
Tempat ketiga bersama disandang pasangan Osman dan Danial serta Nizam dan Hidayat.
Dalam kategori wanita pula, pasangan Wanie dan Cloudia dinobatkan sebagai juara, diikuti pasangan Atiqah dan Agnes sebagai naib juara.
Tempat ketiga bersama masing-masing dimenangi pasangan Betrice dan Zubaidah serta Nurhidayah dan Shafinas.
Para pemenang menerima piala dan wang tunai sebagai penghargaan atas pencapaian dalam pertandingan tersebut.
Penganjuran UKAS Hangout Pickleball turut memberi ruang kepada warga UKAS dan komuniti untuk beriadah dalam suasana santai, di samping menggalakkan penglibatan aktif dalam aktiviti sukan.
Aktiviti berkenaan menjadi antara pengisian Hari Bersama Komuniti UKAS 2026 yang menghimpunkan warga kerja UKAS dan agensi tempatan menerusi aktiviti riadah serta kemasyarakatan.-EDISI UKAS