SNSIC 2026 Perkukuh Integriti Sukan Sarawak Menjelang Sukan SEA 2027
KUCHING: Sarawak memperkukuh kesiapsiagaan sebagai tuan rumah bersama Sukan SEA 2027 menerusi penganjuran Persidangan Integriti Sukan Nasional Sarawak Sarawak National Sports Integrity Conference (SNSIC) 2026 bagi memastikan aspek integriti, tadbir urus dan pengurusan sukan memenuhi standard antarabangsa.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, persidangan anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNION) dengan persetujuan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg itu merupakan langkah persedian pencegahan awal bagi mengenal pasti dan menangani risiko integriti sebelum berlangsungnya temasya sukan berskala antarabangsa.
Menurut beliau, kejayaan Sarawak menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dan Borneo Games 2025 menjadi asas kukuh untuk negeri ini terus meningkatkan piawaian penganjuran sukan.
“Sebab itu saya terima kasih juga kepada pihak United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) yang berpangkalan di Bangkok yang setuju untuk menjadi anchor utama penganjuran program ini di mana mereka akan membawa kepakaran-kepakaran daripada seluruh dunia berkaitan dengan sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Juanda berkata, SNSIC 2026 yang bertemakan Strengthening Systems, Safeguarding Spirits: Increasing Global Standards for Sport Integrity akan berlangsung selama tiga hari mulai 28 hingga 30 September 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), Kuching dan akan majlis perasmian akan disempurnakan oleh Premier Sarawak.
Menurutnya, persidangan itu bakal menampilkan penceramah dan pakar antarabangsa dari Hong Kong, Dubai, Singapura dan Vienna bagi berkongsi kepakaran, pengalaman serta amalan terbaik berkaitan integriti dan tadbir urus dalam pengurusan sukan bertaraf dunia.
Beliau menjelaskan, hari pertama akan memberi tumpuan kepada persidangan peringkat tinggi, manakala hari kedua dan ketiga melibatkan bengkel teknikal khusus berkaitan tadbir urus, perolehan, kewangan dan kawalan risiko.
"Antara isu integriti yang akan diberi perhatian termasuk manipulasi pertandingan atau 'match-fixing', pertaruhan haram, rasuah, doping, penyalahgunaan dadah, penipuan serta sabotaj.
"Persidangan itu turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan sukan dan pihak berkepentingan menerusi pendekatan kerjasama rentas agensi.
"Antaranya ialah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Peguam Besar Negeri Sarawak serta persatuan sukan," jelasnya lagi.
Menerusi bengkel teknikal berkenaan jelas beliau lagi, peserta akan menjalankan analisis risiko dan simulasi kes, selain mendalami aspek pengesanan pertaruhan haram serta merangka resolusi dan syor tindakan yang berkesan.
Penganjuran SNSIC 2026 menjadi sebahagian daripada persediaan Sarawak menjelang Sukan SEA 2027 dan kejohanan antarabangsa lain bagi memastikan semua pihak yang terlibat memahami serta mematuhi standard integriti, tadbir urus dan pentadbiran yang telus. -EDISI UKAS