Pembangunan Murum Perlu Seiring Pemeliharaan Warisan
MURUM: Pembangunan di kawasan Murum perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara adat, budaya dan identiti masyarakat tempatan, khususnya komuniti Penan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata warisan seperti Batu Tungun bukan sahaja penting dari aspek adat dan budaya, malah menjadi simbol identiti masyarakat Penan yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
“Pembangunan yang benar-benar bermakna bukan hanya pembangunan yang dilaksanakan untuk rakyat, tetapi pembangunan yang dirancang dan dijayakan bersama rakyat,” katanya ketika berucap pada Upacara Pemberkatan Batu Tungun 2026 di Taman Batu Tungun, Murum pada Khamis.
Menurutnya, pembangunan masyarakat perlu turut memberi penekanan kepada pendidikan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan ekonomi komuniti supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara berterusan.
Beliau turut menghargai peranan Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Murum Penan Development Committee (MPDC) dalam memperkukuh hubungan serta kerjasama bersama masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Kennedy menyeru generasi muda agar terus mengenali asal usul dan menghargai warisan nenek moyang supaya adat, budaya dan identiti masyarakat tempatan terus terpelihara.
Upacara berkenaan turut menjadi wadah memperkukuh hubungan antara komuniti, Sarawak Energy, MPDC dan pihak berkepentingan dalam memastikan pembangunan Murum terus mengambil kira keperluan serta aspirasi masyarakat setempat.-EDISI UKAS