Lawatan Penanda Aras ke MDL Fokus Kongsi Amalan Pentadbiran
LIMBANG: Delegasi Ahli-Ahli Majlis dan pegawai daripada Majlis Daerah Matu dan Daro telah mengadakan lawatan penanda aras ke Majlis Daerah Limbang (MDL) dengan memberi fokus kepada perkongsian amalan pentadbiran dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Sufian Mohat, program tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk meneliti pendekatan pentadbiran serta strategi pengurusan yang dilaksanakan di peringkat kerajaan tempatan, khususnya dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan kepada rakyat.
“Kami telah berkongsi pelbagai aspek operasi Majlis Daerah Limbang termasuk struktur organisasi, fungsi jabatan serta peranan setiap bahagian dalam menyokong pembangunan daerah," katanya ketika ditemui media pada Rabu.
Selain itu, penerangan turut merangkumi pelaksanaan projek pembangunan, pengurusan perkhidmatan perbandaran, kebersihan awam, penguatkuasaan undang-undang kecil serta inisiatif pelancongan yang dilaksanakan bagi merancakkan ekonomi setempat.
Dalam masa sama, sesi interaksi dua hala dimanfaatkan bagi membincangkan cabaran semasa yang dihadapi oleh PBT serta kaedah penyelesaian yang lebih efektif dan praktikal dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.
“Perbincangan tersebut turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan berkongsi amalan terbaik yang boleh disesuaikan mengikut keperluan dan keupayaan masing-masing,” jelasnya.
Lawatan itu turut disusuli dengan tinjauan ke beberapa kemudahan awam dan lokasi tumpuan ekonomi setempat termasuk Bangunan Tamu Limbang dan Anjung Usahawan bagi melihat secara dekat pelaksanaan projek serta kemudahan yang disediakan untuk manfaat penduduk dan pelancong.
Melalui lawatan seumpama ini, ia bukan sahaja dapat memperluas pengetahuan dan pengalaman peserta, malah berupaya meningkatkan keupayaan organisasi dalam merancang dan melaksanakan inisiatif pembangunan secara lebih menyeluruh.
Usaha berterusan ini dilihat mampu mengukuhkan hubungan antara PBT selain menjadi pemangkin kepada peningkatan kecekapan tadbir urus serta kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.
Hadir sama wakil Pengerusi Majlis Daerah Matu dan Daro, Hamdan Taha, Pemangku Penolong Setiausaha Majlis Daerah Matu dan Daro, Apohrozy Ezrie Eallie, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Adison Langgar Injan dan wakil Setiausaha Majlis Daerah Limbang, Mary Katok.-EDISI UKAS