Intervensi Awal Perkukuh Pencegahan Dadah Dalam Kalangan Murid
KABONG: Pendekatan intervensi awal dan kerjasama bersepadu antara agensi, sekolah serta keluarga perlu diperkasa bagi membendung risiko penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam kalangan murid.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata usaha pencegahan perlu dimulakan lebih awal melalui pendidikan, kesedaran serta pengesanan murid berisiko bagi memastikan golongan muda tidak terjebak dalam penyalahgunaan dadah dan gejala sosial.
Menurut beliau, Kem Eksplorasi Potensi Murid (EPM) merupakan antara pendekatan pendidikan pencegahan dadah di institusi pendidikan yang memberi penekanan kepada peningkatan kesedaran dan pengetahuan murid mengenai bahaya serta kesan penyalahgunaan dadah.
“Selain itu, program ini turut memupuk sikap dan amalan positif serta gaya hidup sihat, di samping melaksanakan intervensi awal terhadap murid yang dikenal pasti berisiko,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kem Eksplorasi Potensi Murid (EPM) Siri 2/2026 di Dewan Pantai Tanjung Kembang, Kabong pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dato Mohd Chee berkata, intervensi awal memerlukan penglibatan semua pihak termasuk AADK, JPNS, PPD, pihak sekolah dan keluarga supaya sebarang risiko penyalahgunaan dadah dapat dikenal pasti serta ditangani pada peringkat awal.
Jelasnya, usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak boleh bergantung kepada satu pihak sahaja, sebaliknya perlu dilaksanakan secara bersepadu melalui pendidikan pencegahan, pemerkasaan komuniti, usaha menyekat kemasukan bekalan dadah, rawatan dan pemulihan serta pembentukan sistem sokongan kepulihan.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan warga pendidik dan pelajar memahami perubahan trend penyalahgunaan bahan, khususnya kemunculan New Psychoactive Substances (NPS) yang boleh disamarkan dalam pelbagai bentuk produk termasuk cecair atau peranti vape.
“Pencegahan awalan perlu dimulakan di rumah dan juga di peringkat sekolah dengan menggerakkan program serta aktiviti antidadah yang mampu menghindarkan berlakunya masalah dadah, sosial dan jenayah dalam kalangan pelajar,” tambahnya.
Justeru beliau berharap program seperti Kem EPM dapat terus memperkukuh kerjasama antara kepimpinan pendidikan, warga pendidik dan agensi berkaitan dalam membendung permasalahan dadah serta pelbagai bentuk gejala sosial dalam kalangan generasi muda.-EDISI UKAS