KOTA SAMARAHAN: Karnival Tok Bok Nyo 3.0 akan berlangsung dari 25 hingga 27 September di The Summer Shopping Mall, Kota Samarahan.
Program itu bakal mengetengahkan pelbagai aktiviti berkaitan warisan, pendidikan, kerjaya, keusahawanan, sukan serta pembangunan generasi muda.
Pengerusi Pengelola Karnival Tok Bok Nyo 3.0, Junaidi Kaderi berkata, penganjuran kali ini bukan sekadar memberi hiburan kepada pengunjung, tetapi turut menyediakan ruang kepada masyarakat khususnya golongan muda untuk mendapatkan pendedahan, mengembangkan bakat dan membina potensi diri.
“Program ini diharap dapat membuka ruang kepada golongan muda untuk mendapatkan pendedahan, maklumat dan inspirasi berkaitan pendidikan serta hala tuju kerjaya,” katanya pada sidang media Karnival Tok Bok Nyo 3.0, di sini, hari ini.
Beliau berkata, karnival itu turut menampilkan Program Warisan Kita, pelbagai pertandingan e-sukan dan permainan, aktiviti sukan dan rekreasi, selain Tamiya Mini 4WD Road To Kuching Cup 2026 Challenge dan Super Car Show.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang, Dato Idris Buang.
Manakala majlis penangguhan pada 27 September akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.-EDISI UKAS