JTS Perlu Perkukuh Fungsi Penguatkuasaan Dan Mineral, Perluas Tanggungjawab Ke Kawasan Perairan Sarawak
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak perlu memperkukuh fungsi penguatkuasaan dan pengurusan mineral termasuk memperluas keupayaan penyukatan ke kawasan perairan Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak berpegang teguh bahawa pelantar benua adalah di bawah Sarawak kerana ia merupakan lanjutan tanah sekali gus turut memerlukan penyukatan.
Justeru katanya, perkembangan teknologi membolehkan penyukatan dan pemetaan dilakukan dengan lebih berkesan, termasuk untuk mengesan apa yang terdapat di bawah air.
“Sebab itu orang yang menjalankan penggerudian minyak tidak lagi menggunakan cara lama kerana ia boleh dilakukan melalui teknologi baharu menggunakan sensor kerana ia boleh mengesan apa yang terdapat di bawah air.
“Sebab itu saya rasa Jabatan Tanah dan Survei sekarang mengubah fungsi mereka, termasuklah dalam kawasan perairan dan Pengarah JTS, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, memberitahu saya bahawa jabatannya tiada masalah, kerana mereka inovatif.
“Mereka akan sentiasa berinovasi untuk mencari penyelesaian, maka saya percaya JTS boleh melaksanakan tugas tersebut walaupun di kawasan laut,” katanya ketika berucap pada Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei (HIITS) 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, sumber mineral merupakan bidang baharu yang turut membawa tanggungjawab baharu kepada Sarawak sekali gus memerlukan pengukuhan fungsi penguatkuasaan dan mineral di JTS.
Tegasnya, pembangunan sumber mineral mesti dipandu oleh tiga perkara utama, iaitu pengetahuan, tadbir urus dan kemampanan termasuk sumber di lautan dalam usaha untuk mencari mineral agar dapat mengetahui dengan lebih tepat sumber yang ada, lokasinya, nilainya serta risikonya supaya ia dapat dibangunkan secara bertanggungjawab.
Ujarnya, dalam era mineral strategik dan unsur nadir bumi, keputusan tidak boleh dibuat berasaskan andaian, sebaliknya mesti berasaskan data saintifik, pemetaan yang tepat, penilaian alam sekitar dan tadbir urus yang jelas.
“Ada mineral yang penting. Kita mesti memproses mineral tersebut dan jangan dihantar dalam bentuk mentah.
"Kerana pada hemat saya, ada satu sumber kita yang sangat-sangat penting dan ia ada kaitan dengan pembuatan semikonduktor dan juga untuk menyimpan data dalam satu cip yang kecil,” jelas beliau. - EDISI UKAS