Sarawak Hasilkan Sesuatu Dalam Penyelidikan Perubatan Tropika
KUCHING: Sarawak telah menghasilkan sesuatu melalui penyelidikan dalam bidang perubatan tropika yang berpotensi diterjemahkan kepada hasil dan manfaat lebih besar pada masa akan datang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pertemuan ini berhasil setelah mengaplikasikan hasil yang diperoleh daripada penyelidikan yang dibuat.
“Anda tahu, penyelidikan perubatan tropika kita telah menghasilkan sesuatu. Kelak saya jelaskanlah, ini bukan tempatnya,” katanya ringkas ketika berucap pada Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei (HIITS) 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, hasil penyelidikan seperti ini perlu diteroka bagi mengenal pasti potensi baharu yang boleh memberikan nilai tambah kepada sumber serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Menurutnya, penyelidikan termasuk dalam bidang perubatan tropika dan alga berpotensi menghasilkan pelbagai hasil sampingan yang boleh dimanfaatkan.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, sebanyak 13 projek penyelidikan telah dikenal pasti di bawah kerjasama strategik Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Geran Kursi Premier Sarawak.
Ujarnya, projek penyelidikan tersebut meliputi pelbagai bidang termasuk sumber mineral, pentadbiran tanah, marin, kadaster, perubahan iklim dan banjir, perumahan, pelancongan, infrastruktur bandar serta teknologi sokongan keputusan.
Tegasnya, program ini sebagai satu pelaburan pengetahuan yang penting, namun penyelidikan tidak boleh berakhir sebagai satu laporan dan kemudian hanya meminta suntikan. -EDISI UKAS