UNIFOR Salur RM200,000 Kepada Gereja St Francis Lundu, 33 Pelajar Terima Bantuan IPT
LUNDU: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyalurkan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada Gereja St Francis Lundu bagi menyokong keperluan serta pembangunan kemudahan gereja berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan menyempurnakan sesi penyampaian bantuan tersebut di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, di sini, pada Rabu.
Dalam majlis sama, seramai 33 pelajar turut menerima bantuan bagi melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT), sekali gus membantu menampung keperluan awal pengajian dan meringankan beban kewangan pelajar serta keluarga.
Penyaluran bantuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan terhadap pembangunan pendidikan dan institusi keagamaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu. -EDISI UKAS