‘Peta 63’ Dekatkan Sejarah Pembentukan Malaysia Kepada Generasi Muda
KUCHING: Sejarah pembentukan Malaysia dan pengalaman masyarakat Sarawak dalam menerima cadangan pembentukan Persekutuan Malaysia diangkat secara kreatif menerusi pementasan Teater Perdana ‘Peta 63’.
Pementasan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Penggiat Seni Teater Kuching (Tongkat Paruh) itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol sebagai tetamu kehormat.
Berlangsung dari 21 hingga 23 September 2026 di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak, pementasan pada hari terakhir itu mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir memenuhi ruang Balai Budaya.
Sambutan berkenaan memperlihatkan minat masyarakat terhadap karya yang mengangkat sejarah pembentukan Malaysia, khususnya kisah dan pengalaman masyarakat Sarawak dalam mendepani cadangan pembentukan Persekutuan Malaysia.
Peta 63 mengetengahkan latar sejarah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta pergolakan masyarakat Sarawak dalam menerima rancangan pembentukan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman.
Karya berkenaan turut mengangkat aspek sentimen, perundangan dan tanggapan masyarakat terhadap pembentukan Malaysia, sekali gus memberikan gambaran mengenai perjalanan sejarah yang membawa kepada pembentukan sebuah negara.
Pendekatan teater digunakan sebagai medium untuk menjadikan peristiwa sejarah lebih mudah difahami dan dihayati, khususnya oleh generasi muda, selain menyemai pemahaman mengenai kemerdekaan, perpaduan dan persefahaman dalam pembentukan Malaysia.
Menerusi lakonan dan persembahan seni, penonton dibawa menyelusuri detik-detik penting pembentukan Malaysia serta realiti kehidupan masyarakat Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian budaya, adat dan tradisi.
Pementasan itu melibatkan 53 tenaga produksi dan pelakon, yang menghidupkan kembali naratif sejarah menerusi bahasa dan seni persembahan yang lebih dekat dengan masyarakat.
Usaha tersebut turut memberi ruang kepada masyarakat untuk melihat sejarah Malaysia bukan sekadar sebagai catatan masa lalu, tetapi sebagai asas penting dalam memahami identiti dan masa depan negara, khususnya dalam konteks perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Dalam masa sama, pementasan itu mengangkat tema perpaduan dalam Malaysia secara kreatif, selaras dengan usaha DBP memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa kebangsaan, di samping memperluas apresiasi masyarakat terhadap seni teater dan karya sastera.
Pementasan Peta 63 diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-70 DBP dan Hari Malaysia ke-63, selain berkait dengan Sidang Mastera yang berlangsung di Kuching pada September serta sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober di Kuala Lumpur.
Turut hadir, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Hazami Jahari, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam merangkap Pengerusi Mastera Brunei Darussalam, Yang Mulia Tuan Awang Suip Abdul Wahab, Kepala Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa merangkap Pengerusi Mastera Indonesia, Bapak Hafidz Muksin, serta Timbalan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura merangkap Pengerusi Mastera Singapura, Dr Azhar Ibrahim. -EDISI UKAS