Pendidikan, TVET Jadi Keutamaan Pembangunan Modal Insan Santubong
KUCHING: Pendidikan dan pembangunan modal insan terus menjadi antara keutamaan pembangunan di kawasan Santubong dalam usaha melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berkeyakinan menghadapi cabaran masa depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Nancy Shukri berkata, pendidikan merupakan salah satu daripada enam teras utama yang menjadi dasar dalam membimbing dan memimpin masyarakat di kawasan Parlimen Santubong.
Menurutnya, pendidikan bukan sekadar untuk mendapatkan keputusan yang baik, malah membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta membantu keluarga membina kehidupan yang lebih baik.
“Melalui teras ini, kita mahu melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran, berkeyakinan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang 2026 Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sejingkat di sekolah tersebut pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa aliran teknikal dan TVET bukanlah pilihan kedua, sebaliknya merupakan antara aliran penting dalam melahirkan tenaga mahir yang diperlukan negara.
Katanya, bidang berkenaan mampu melahirkan jurutera, teknologis, pereka cipta, usahawan dan inovator yang dapat menyumbang kepada pembangunan industri serta ekonomi negara.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap para pelajar yang terpilih mengikuti kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejajar dengan tumpuan kerajaan terhadap bidang tersebut menerusi bantuan dan peluang yang disediakan.
“Jadi, bagi pihak sebagai pemimpin di sini, saya amat berasa bangga dan mengharapkan kita mendapat keputusan yang lebih baik lagi nanti supaya ia menjadi satu panduan kepada para pelajar yang
lain,” ujar beliau.
Pada majlis sama, beliau turut meluluskan dana aktiviti bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMT Sejingkat sebanyak RM10,000. -EDISI UKAS