SPR Tinjau Pameran Syor Kajian Semula Persempadanan di Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Samarahan di sini, pada Khamis, bagi meninjau lokasi pameran Syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Negeri Sarawak Kali Ke-7.
Lawatan itu diketuai Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, bersama barisan pegawai kanan SPR dan Pengarah-Pengarah Pilihan Raya Negeri.
Turut menyertai rombongan ialah Ahli SPR Dato' Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Timbalan Setiausaha (Strategik) SPR Baharuddin Tahir, Setiausaha Bahagian (PD) SPR Muhammad Faliq Mustafa Kama, Setiausaha Bahagian (PAD) SPR Faizal Reza Abdul Rahim, Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah Dr Muharrir Kamarudin, Pengarah Pilihan Raya Negeri Kelantan Adnan Abd Rahman, Pengarah Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Dr Siti Nazariah Abdul Zalim dan Pengarah Pilihan Raya Negeri Terengganu Mohd Sarif Hassan.
Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Samarahan Hayati Sahari.
Rombongan berkenaan turut mengadakan lawatan ke Pejabat Daerah Asajaya sebelum meneruskan lawatan ke Pejabat Daerah Samarahan.
Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada keadaan dan kesesuaian lokasi pameran serta penyelarasan urusan pentadbiran berkaitan proses kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya.
Pameran Syor KSP merupakan ruang untuk orang ramai membuat semakan terhadap syor yang dikemukakan serta mengemukakan representasi oleh pihak yang layak mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Pameran berkenaan dilaksanakan mulai 1 September hingga 30 September 2026 di Pejabat-Pejabat Daerah terpilih di seluruh Sarawak, dengan tumpuan kepada pemakluman syor berkaitan cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu serta pertukaran nama kawasan seperti yang dipamerkan oleh SPR.
Menurut SPR, KSP bertujuan menilai semula kesesuaian sempadan bahagian pilihan raya sedia ada bagi memudahkan urusan pentadbiran pilihan raya dan pendaftaran pemilih pada masa hadapan.
Antara prinsip yang diambil kira termasuk kemudahan kepada pemilih, kemudahan pentadbiran, keseimbangan bilangan pemilih serta pemeliharaan hubungan setempat.-EDISI UKAS