UNIFOR Salur RM520,000 Sokong Tiga Projek Gereja BEM Di Pakan
PAKAN: Sebanyak RM520,000 peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) disalurkan bagi menyokong pelaksanaan tiga projek pembangunan kemudahan Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) di kawasan Pakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, berkata peruntukan berkenaan membolehkan setiap gereja melaksanakan projek berdasarkan keperluan serta keutamaan jemaah masing-masing.
Menurut beliau, pembangunan kemudahan keagamaan turut penting dalam memastikan keperluan asas komuniti, khususnya di kawasan luar bandar, terus diberi perhatian.
“Sokongan berkenaan mencerminkan perhatian Kerajaan Sarawak terhadap keperluan komuniti keagamaan, termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ringkas Penyerahan Cek UNIFOR kepada tiga gereja berkenaan di Rumah Blun, Sungai Wong Wak, pada Rabu.
Daripada jumlah tersebut, BEM Nanga Wak menerima RM300,000 bagi pelaksanaan projek Bina Baru Borneo Evangelical Mission Nanga Wak untuk kegunaan jemaah dan aktiviti gereja.
BEM Nanga Dayu Bangkit menerima RM70,000 bagi projek Bina Baru Sunday School Building yang menyediakan ruang khusus untuk aktiviti Sekolah Minggu.
Manakala BEM Nanga Dayu Sungai Merah menerima RM150,000 bagi projek Bina Baru Rumah Pastor sebagai kemudahan sokongan kepada pengurusan gereja.
Ketiga-tiga projek tersebut dijangka menyediakan kemudahan yang lebih sesuai dan selesa, sekali gus menyokong kelancaran aktiviti keagamaan serta penglibatan komuniti di kawasan masing-masing.
Penyerahan cek UNIFOR kepada wakil BEM Nanga Wak, BEM Nanga Dayu Sungai Merah dan BEM Nanga Dayu Bangkit disempurnakan Tan Sri William Mawan pada majlis berkenaan.-EDISI UKAS