Industri & Pembangunan Modal Insan Perlu Bergerak Seiring
BINTULU: Pembangunan industri di Sarawak perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan bagi memastikan tenaga kerja tempatan mampu mengisi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang semakin berkembang susulan kemajuan teknologi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata perkembangan kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik dan teknologi digital telah mengubah landskap pekerjaan serta meningkatkan keperluan terhadap tenaga kerja yang mempunyai kemahiran bersesuaian.
Menurutnya, keadaan itu memerlukan kerjasama lebih erat antara institusi pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pihak industri bagi membangunkan bakat berdasarkan keperluan sebenar pasaran.
“Pembangunan industri mesti bergerak seiring dengan pembangunan modal insan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Industri Borneo @ Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini pada Rabu.
Johnny berkata, pembangunan industri tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelaburan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kesiapsiagaan tenaga kerja tempatan untuk merebut peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Katanya, TVET perlu terus diperkasa sebagai antara laluan utama dalam melahirkan tenaga mahir, teknologis dan profesional yang diperlukan industri, dan tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua dalam pendidikan.
“Tenaga kerja yang sedia ada juga perlu terus diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran kerana dalam dunia yang berubah begitu pantas, kita mungkin tamat belajar, tetapi kita tidak boleh berhenti belajar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama antara akademia dan industri perlu diperluaskan kepada bidang penyelidikan dan inovasi bagi memastikan cabaran sebenar industri dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang boleh digunakan dalam persekitaran sebenar.
Menurutnya, hasil penyelidikan universiti tidak seharusnya terhenti pada laporan atau penerbitan akademik, sebaliknya perlu diberi ruang untuk diuji, dibangunkan dan dimanfaatkan oleh industri. -EDISI UKAS