Lawatan Penanda Aras MD Matu-Daro Ke Lawas Perkukuh Perkongsian PBT
LAWAS: Lawatan penanda aras Ahli Majlis Daerah Matu-Daro ke Majlis Daerah Lawas (MDL) memberi pendedahan mengenai amalan terbaik, pengurusan berkesan serta pendekatan inovatif yang boleh dikongsi dan disesuaikan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Daerah Matu-Daro, Apohrozy Ezrie berkata, pemilihan Lawas sebagai destinasi lawatan dibuat berdasarkan persamaan ciri dan potensi antara kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT), selain perkembangan positif yang ditunjukkan MDL.
“Banyak ilham yang diperoleh hasil lawatan ini, khususnya berkaitan pembangunan kawasan pantai dan lokasi berpotensi yang boleh dijadikan rujukan untuk pembangunan di Matu dan Daro,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Lawatan Penanda Aras Ahli Majlis Daerah Matu-Daro ke Lawas di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, lawatan tersebut turut membuka ruang kepada kedua-dua PBT untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan pendekatan pengurusan yang bersesuaian dengan keperluan kawasan masing-masing.
Sementara itu, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok mengalu-alukan kunjungan delegasi MD Matu-Daro dan berharap hubungan yang terjalin dapat diteruskan menerusi perkongsian serta lawatan balas pada masa akan datang.
Beliau berkata, pengalaman dan amalan baik yang diperoleh sepanjang lawatan wajar dibawa pulang untuk dipertimbangkan mengikut kesesuaian, sekali gus memberi manfaat kepada pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Dalam masa sama, MDL menyatakan kesediaan untuk meneruskan hubungan tersebut melalui lawatan balas ke Matu dan Daro, sebagai kesinambungan kepada pertukaran pengalaman antara kedua-dua pihak.
Antara lokasi yang dikunjungi delegasi ialah Kampung Punang dan Kuala Lawas bagi memberi pendedahan secara langsung terhadap pendekatan pembangunan serta pengurusan kawasan yang dilaksanakan di daerah berkenaan.-EDISI UKAS