Program Open Day PPDK Sunflower Miri Perkasa Inklusi, Raikan Kebolehan OKU
MIRI: Penganjuran MRC/PPDK Sunflower Open Day 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan komuniti inklusif, di samping meraikan kebolehan individu kurang upaya (OKU).
Program yang dijadual berlangsung pada 17 Oktober ini di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sunflower Miri mengangkat tema “Together We Bloom: Celebrating Abilities, Inspiring Inclusion” dengan menghimpunkan pelbagai lapisan komuniti termasuk peserta OKU, keluarga, agensi kerajaan, organisasi serta orang awam.
Menurut penganjur, inisiatif tersebut memberi ruang kepada peserta PPDK Sunflower Miri mengetengahkan bakat, kebolehan serta pencapaian mereka menerusi pelbagai persembahan dan aktiviti sepanjang program.
Antara pengisian menarik yang disediakan termasuk persembahan tarian singa dan naga, T.Home, Miri Charity Line Dance, Taekwondo oleh Miri Kim’s Taekwondo serta persembahan khas oleh peserta PPDK Sunflower sendiri.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti keluarga seperti permainan, gerai interaktif dan hiburan, di samping mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan serta sokongan daripada agensi dan organisasi komuniti yang terlibat.
Program tersebut turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma dan khidmat komuniti terpilih bagi memberi peluang kepada orang ramai menjalani saringan kesihatan serta mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan tersedia.
Berlangsung dari jam 8 pagi hingga 3 petang, penganjuran ini juga menawarkan jualan buku kupon bernilai RM50 sebagai usaha menyokong aktiviti serta pembangunan PPDK Sunflower Miri.
Orang ramai dijemput hadir bagi menyokong usaha memperkasa komuniti inklusif serta bersama-sama menghargai setiap kebolehan tanpa mengira perbezaan.-EDISI UKAS