MIRI: Seramai 40 peserta akan mewakili Bahagian Miri pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Padang Merdeka, Kuching, pada 10 Oktober ini.
Residen Bahagian Miri, Galong Luang berkata, penyertaan itu turut memberi peluang kepada wakil pelbagai agensi untuk mengeratkan hubungan dan mengukuhkan kerjasama.
“Ini adalah permulaan untuk kita bekerjasama, bukan hanya untuk perbarisan tetapi juga untuk tugas-tugas lain,” katanya ketika mempengerusikan taklimat awal kontinjen di Pejabat Residen Bahagian Miri, pada Khamis.
Kontinjen mewakili Pentadbiran Bahagian Miri, terdiri daripada Pejabat Residen, Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil.
Selain itu peserta mewakili enam agensi iaitu Majlis Bandaraya Miri (MBM), Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah Marudi, Lembaga Sungai Sarawak (LSS) Miri, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Jabatan Hutan Wilayah Miri.
Galong mengucapkan tahniah kepada peserta yang dipilih dan meminta mereka memberikan yang terbaik untuk Miri.
Beliau turut mengingatkan mereka supaya mematuhi arahan ketua kontinjen, menjaga disiplin dan menepati masa.
Taklimat itu membincangkan atur cara sambutan, laluan perarakan dan persiapan kontinjen, termasuk cadangan menampilkan maskot kuda laut. -EDISI UKAS