Pelaksanaan Projek Waterfront Kampung Sinjan Berjalan Mengikut Perancangan
KUCHING: Perkembangan projek Waterfront Kampung Sinjan terus dipantau bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut perancangan dan dapat disiapkan untuk memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, hari ini mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan bagi meninjau kemajuan semasa kerja pembinaan.
Lawatan itu turut memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembangunan di kawasan tebing sungai serta pembinaan struktur di sepanjang sebahagian kawasan waterfront.
Beliau turut meninjau keadaan keseluruhan tapak bagi memastikan kerja yang sedang dilaksanakan mengambil kira keadaan serta keperluan komuniti setempat.
Apabila siap kelak, projek Waterfront Kampung Sinjan dijangka menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk, selain menambah baik kawasan tebing sungai untuk kegunaan masyarakat.
Dalam pada itu, penduduk sekitar diminta memahami keadaan semasa dan bersabar dengan sedikit ketidakselesaan yang mungkin timbul sepanjang tempoh pembinaan.
Kerjasama semua pihak penting bagi memastikan kerja-kerja pembinaan dapat dilaksanakan dengan lancar sehingga projek tersebut siap sepenuhnya.-EDISI UKAS