15 Peserta Sertai Kursus Asas Pengadil Dan Hakim Muay Sarawak 2026
KUCHING: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) terus memperkukuhkan pembangunan pegawai teknikal sukan muay menerusi penganjuran Kursus Asas Pengadil dan Hakim Persatuan Muaythai Negeri Sarawak Tahun 2026 yang berlangsung dari 19 hingga 20 September lalu di Kelab Sting Muaythai Gym, Kuching.
Kursus berkenaan disertai seramai 15 peserta, terdiri daripada peserta lelaki dan wanita yang mempunyai latar belakang dalam sukan muay.
Penganjuran kursus ini bertujuan melahirkan lebih ramai pengadil dan hakim yang bertauliah, berpengetahuan serta berkelayakan di peringkat negeri, selain meningkatkan kefahaman peserta terhadap Peraturan dan Syarat IFMA dan penggunaan System Strike By Strike (SBS).
Selain itu, kursus turut memberi penekanan kepada usaha menyeragamkan kaedah pemarkahan, etika dan tatacara pengadilan supaya penganjuran kejohanan muay di Sarawak dapat dilaksanakan selaras dengan standard kebangsaan dan antarabangsa.
Sepanjang kursus, peserta mengikuti sesi teori yang merangkumi pengenalan, etika dan falsafah pengadil serta hakim, peraturan pertandingan IFMA, tatacara pemakaian, format kategori pertandingan, penugasan pegawai teknikal, format serangan dan belaan, sistem pemberian markah serta kaedah membuat keputusan pertandingan.
Peserta turut didedahkan kepada prosedur protes dan tatacara pengendalian kejohanan sebelum menjalani sesi praktikal pengadil dan hakim secara berkumpulan.
Pada hari kedua, peserta meneruskan sesi praktikal sebelum menjalani penilaian akhir, sesi postmortem dan majlis penutup.
Kursus berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh Master Borhan Budong selaku Pengerusi Pengadil dan Hakim, Persatuan Muaythai Malaysia (PMM).
Menurut laporan penganjuran, kursus ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta berkaitan peraturan dan sistem penghakiman, malah menjadi platform untuk membentuk pegawai teknikal yang lebih profesional, berintegriti, adil dan bebas daripada sebarang pengaruh.
Pada masa sama, pembangunan ini membuka laluan kepada pegawai teknikal yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk laluan National Technical Official (NTO) serta seterusnya ke peringkat IFMA/International Technical Official (ITO).
PMNS berharap program pembangunan pegawai teknikal seperti ini dapat diteruskan secara berterusan bagi memastikan keperluan pengadil dan hakim yang kompeten dapat dipenuhi dalam penganjuran kejohanan muay di Sarawak.
Penganjuran kursus ini juga dilihat sebagai salah satu usaha memperkukuhkan ekosistem sukan muay negeri khususnya dari aspek pengadilan, integriti pertandingan dan pematuhan standard teknikal, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang kepada pegawai teknikal Sarawak untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi.
Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim berharap agar penganjuran kursus seumpama ini dapat membantu melahirkan lebih ramai pengadil dari Sarawak yang lebih proaktif, berilmu dan berkeyakinan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pegawai teknikal.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, atas komitmen dan sokongan yang diberikan bagi memastikan kursus ini dapat dilaksanakan dengan baik.
Persatuan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Persatuan Muaythai Bahagian Kuching, Sting Muaythai Club terutamanya Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) atas sokongan berterusan yang diberikan dalam menjayakan program pembangunan pegawai teknikal muay di Sarawak. - EDISI UKAS