SJK Chung Hua Sambir Kekal Institusi Pendidikan Penting Selepas 100 Tahun
ASAJAYA: Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Sambir terus menjadi antara institusi pendidikan penting di Asajaya selepas 100 tahun memainkan peranan dalam membentuk generasi berilmu dan memperkukuh hubungan masyarakat setempat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketahanan sekolah itu sejak ditubuhkan pada 1926 membuktikan komitmen masyarakat terdahulu terhadap kepentingan pendidikan.
Menurut beliau, ketika sekolah itu mula diwujudkan, kawasan Sambir masih berdepan kekangan perhubungan dan kemudahan asas, namun masyarakat ketika itu sudah melihat jauh ke hadapan dengan menyediakan pendidikan kepada generasi muda.
“100 tahun bukan satu tempoh yang pendek. Ia menunjukkan sekolah ini telah dijaga dan dipertahankan oleh generasi terdahulu sehingga mampu terus berdiri hingga hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 SJK Chung Hua Sambir, di sini pada Jumaat.
Dato Sri Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, sumbangan sekolah Cina kepada pendidikan masyarakat di kawasan luar bandar tidak boleh diketepikan kerana institusi berkenaan turut menjadi antara asas pembentukan modal insan sebelum kemudahan pendidikan berkembang seperti hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memuji penglibatan murid pelbagai kaum dalam persembahan sempena sambutan tersebut yang disifatkan mencerminkan semangat perpaduan masyarakat Asajaya.
Katanya, sekolah perlu terus menjadi tempat membimbing anak-anak tanpa mengira latar belakang kaum supaya mereka mampu menjadi generasi yang berguna kepada keluarga dan masyarakat.
Sementara itu, Dato Sri Abdul Karim berkata perkembangan pendidikan perlu bergerak seiring dengan pembangunan pesat Asajaya yang kini memasuki fasa perubahan besar.
Beliau menyeru masyarakat supaya terus menyokong institusi pendidikan tempatan bagi memastikan generasi akan datang dapat memanfaatkan peluang pembangunan yang semakin terbuka di kawasan berkenaan.
Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Abang Ismawi Abang Ali dan Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin. -EDISI UKAS