STIU, Lima Pentadbiran Bahagian Lulus Audit ISO Tanpa Ketakakuran
STIU, Lima Pentadbiran Bahagian Lulus Audit ISO Tanpa Ketakakuran
BINTULU: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) bersama lima Pentadbiran Bahagian Sarawak berjaya mengekalkan pensijilan MS ISO 9001:2015 selepas lulus Audit Pensijilan Semula tanpa sebarang penemuan ketakakuran.
Lima Pentadbiran Bahagian yang terlibat ialah Sri Aman, Limbang, Sarikei, Bintulu dan Serian, dengan pengauditan dilaksanakan oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada proses memastikan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) terus memenuhi keperluan standard MS ISO 9001:2015.
Pencapaian itu membolehkan pensijilan MS ISO 9001:2015 diteruskan, sekali gus mencerminkan pelaksanaan sistem pengurusan berasaskan kualiti, pematuhan proses, pengurusan risiko dan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan awam Sarawak.
MS ISO 9001:2015 bagi Pentadbiran Bahagian di Sarawak mula dilaksanakan sejak 2023 sebagai usaha memperkukuh sistem pengurusan serta memastikan proses kerja dilaksanakan secara lebih tersusun dan konsisten.
Pengarah STIU, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, pencapaian tanpa sebarang penemuan ketakakuran membuktikan amalan kualiti bukan sekadar memenuhi keperluan pensijilan, sebaliknya telah diterapkan secara konsisten dalam pelaksanaan tugas dan proses kerja.
“Pencapaian ini perlu terus dipertahankan melalui pemantauan, penilaian dan penambahbaikan yang berterusan,” katanya menerusi kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penutup Audit Pensijilan Semula, pada Jumaat.
Menurutnya, pensijilan MS ISO 9001:2015 juga perlu dilihat sebagai instrumen pengurusan bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan keberkesanan proses kerja serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, konsisten dan berorientasikan pelanggan.
Pencapaian itu turut mencerminkan komitmen STIU, Pentadbiran Bahagian Sri Aman, Limbang, Sarikei, Bintulu dan Serian serta warga perkhidmatan awam Sarawak dalam mengekalkan standard pengurusan berkualiti dan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan. -EDISI UKAS