LUNDU: Regatta Batang Kayan Lundu 2026 bukan sekadar pertandingan sukan air, malah menjadi platform mengetengahkan warisan, kebudayaan dan potensi pelancongan daerah berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, Sungai Batang Kayan mempunyai nilai sejarah dan kehidupan yang signifikan kepada masyarakat Lundu sejak dahulu.
Menurut beliau, sungai berkenaan bukan sahaja menjadi ruang pertemuan masyarakat, malah kini berperanan sebagai pentas yang menyatukan komuniti menerusi sukan, seni, budaya dan pelancongan.
“Warisan ini bukan sahaja perlu dipelihara, tetapi perlu dihayati, dibanggakan dan dimanfaatkan supaya dapat memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merasmikan Regatta Batang Kayan Lundu 2026 di Townsquare Lundu, pada Jumaat.
Azizul berkata, kekayaan khazanah budaya dan alam semula jadi Lundu menyediakan asas kukuh untuk menjadikan daerah itu sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
Katanya, penganjuran acara seperti regatta berkenaan turut membuka peluang kepada pengunjung menikmati makanan tempatan, mendapatkan produk komuniti, mengenali seni dan budaya serta meneroka destinasi ekopelancongan di sekitar Lundu.
Sementara itu, ADUN Opar merangkap Penaung Bersama Jawatankuasa Induk Regatta Batang Kayan Lundu 2026, Billy Sujang berkata, penganjuran regatta berkenaan mendapat sokongan pelbagai kementerian, jabatan, agensi, pihak swasta dan komuniti tempatan.
Beliau berkata, tema ‘Lundu Heritage’ yang diketengahkan tahun ini bertepatan dengan identiti Lundu yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta semangat perpaduan masyarakat.
“Antara platform yang diketengahkan ialah Lundu Heritage Square Fest 2026 yang menghimpunkan tradisi, muzik, tarian dan persembahan kebudayaan masyarakat Melayu, Salako, Bidayuh, Iban dan Cina,” katanya.
Regatta Batang Kayan Lundu 2026 berlangsung selama tiga hari dari 25 hingga 27 September 2026, menghimpunkan pelbagai aktiviti termasuk perlumbaan perahu, pertandingan, pameran agensi, gerai jualan, persembahan kebudayaan dan konsert rakyat.
Penganjuran edisi 2026 turut menjadi antara platform utama yang menggabungkan elemen pelancongan, kebudayaan, keusahawanan, pembangunan belia dan penglibatan komuniti dalam satu acara berskala besar di Daerah Lundu. -EDISI UKAS