819 Peserta Meriahkan Fun Run 4KM Sempena 40 Tahun Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Seramai 819 peserta menyertai Fun Run sejauh 4 kilometer (KM) sempena Sambutan 40 Tahun Bahagian Samarahan di Taman Tasik Desa Ilmu (TTDI), di sini pada Sabtu.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, sambutan menggalakkan terhadap program berkenaan menunjukkan aktiviti riadah mampu menjadi medium menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Syabas dan tahniah kepada semua peserta yang terlibat sejak awal pagi dalam usaha kita memastikan salah satu program gaya hidup sihat dapat disematkan dalam kehidupan kita,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Datuk Rubiah turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Residen Bahagian Samarahan, IRSDA, Majlis Perbandaran Kota Samarahan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Fun Run tersebut melibatkan penyertaan 409 peserta lelaki dan 410 peserta perempuan daripada pelbagai golongan serta peringkat umur.
Acara dimulakan dengan sesi senamrobik dan pemanasan badan sebelum peserta diberikan taklimat keselamatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pelepasan Fun Run 4KM kemudian disempurnakan Datuk Rubiah pada jam 7 pagi sebelum aktiviti diteruskan dengan Brisk Walk di sekitar TTDI bersama tetamu kehormat dan ketua-ketua jabatan.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan Abang Ismawi Abang Ali dan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Mohd Radzi. -EDISI UKAS