RM120,000 Bantu Naik Taraf Gelanggang Bola Keranjang SJK Chung Hua Sambir
ASAJAYA: Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Sambir menerima sumbangan RM120,000 bagi membantu pembangunan gelanggang bola keranjang sekolah berkenaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian usaha membantu merealisasikan projek gelanggang baharu yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta, selain membuka ruang untuk mendapatkan sokongan tambahan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Menurut beliau, kemudahan tersebut bukan sahaja penting kepada murid, malah boleh dimanfaatkan masyarakat setempat memandangkan SJK Chung Hua Sambir mempunyai sejarah panjang dalam aktiviti bola keranjang di kawasan Asajaya.
“Saya berharap dalam tempoh setahun kita dapat melihat gelanggang bola keranjang yang baik dan boleh digunakan oleh warga sekolah serta masyarakat di kawasan ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 SJK Chung Hua Sambir, di sini, pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu berkata, pembangunan kemudahan sukan perlu diberi perhatian sebagai sebahagian usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih lengkap kepada generasi muda.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim berkata, pembangunan pesat Asajaya turut memerlukan masyarakat membuat persediaan awal, khususnya dalam meningkatkan pendidikan dan kemahiran generasi muda.
Katanya, pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur di kawasan berkenaan termasuk pembangunan jaringan jalan raya, jambatan dan lapangan terbang antarabangsa baharu bakal membawa perubahan besar kepada Asajaya.
Beliau turut menyeru masyarakat tanpa mengira kaum supaya terus bekerjasama menyokong pembangunan kawasan serta memastikan kemudahan pendidikan dan sukan dapat dimanfaatkan secara bersama. -EDISI UKAS