Festival Pertengahan Musim Luruh Erat Perpaduan Masyarakat Bau
BAU: Sambutan Festival Pertengahan Musim Luruh bukan sekadar meraikan tradisi dan warisan masyarakat Cina, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Bau.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, sambutan bertemakan ‘Family Reunion, Abundant Grace’ atau ‘Perhimpunan Keluarga, Limpahan Berkat’ membawa mesej mengenai nilai kekeluargaan, kebersamaan dan kesyukuran.
Menurut beliau, kepelbagaian masyarakat Bau yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya menjadi antara kekuatan komuniti setempat yang mampu hidup bersama dalam suasana saling menghormati.
“Pada malam ini, kita bukan sahaja berkumpul sebagai keluarga, tetapi kita juga berkumpul sebagai satu keluarga besar masyarakat Bau.
“Inilah keistimewaan Bau. Kita mempunyai pelbagai kaum, agama dan budaya, tetapi kita boleh hidup bersama, saling menghormati dan sama-sama meraikan perayaan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Festival Pertengahan Musim Luruh bertempat di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Bau, pada Jumaat.
Datuk Henry berkata, budaya saling mengenali dan menghormati perlu terus dipupuk dalam kalangan generasi muda kerana kepelbagaian budaya merupakan kekuatan serta sebahagian daripada warisan masyarakat Bau.
Katanya, sambutan seumpama itu turut memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali tradisi masyarakat di sekeliling mereka, sekali gus membina kefahaman dan rasa hormat terhadap kepelbagaian yang wujud dalam komuniti.
Beliau dalam pada itu turut menyeru masyarakat supaya terus mempertahankan perpaduan dan keharmonian yang telah menjadi kekuatan komuniti Bau.
“Kita mungkin berbeza budaya, tetapi kita adalah satu keluarga. Semoga sambutan pada malam ini membawa kegembiraan kepada semua keluarga, mengeratkan hubungan sesama kita dan membawa limpahan berkat kepada seluruh masyarakat,” ujarnya. -EDISI UKAS