UNIFOR Salur RM400,000 Untuk Naik Taraf Dua Rumah Ibadat Di Bukit Semuja
SERIAN: Sebanyak RM400,000 peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) disalurkan bagi membaik pulih dan menaik taraf dua rumah ibadat di kawasan Bukit Semuja.
Peruntukan berkenaan membabitkan Gereja Katolik St Simon, Kampung Slabi Plaman dan St Peter’s Chapel, Kampung Slabi Sangkam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, peruntukan tersebut penting bagi memastikan kedua-dua rumah ibadat berkenaan berada dalam keadaan selesa, kondusif dan selamat untuk kegunaan penganut setempat.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Perasmian JKKK Baharu dan Logo Baharu Kampung Slabi Plaman, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Kampung Slabi Plaman atas kerjasama dalam memacu pembangunan kampung, selain mengucapkan tahniah kepada barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang baharu dilantik.
Menurutnya, kerjasama dan perpaduan dalam kalangan pimpinan kampung penting bagi memastikan pentadbiran serta perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. -EDISI UKAS