Karnival Tok Bok Nyo 3.0 Buka Ruang Pendidikan & Kerjaya Untuk Belia
KOTA SAMARAHAN: Karnival Tok Bok Nyo 3.0 bukan sekadar wadah hiburan dan rekreasi, sebaliknya membuka ruang lebih luas kepada golongan belia mendapatkan pendedahan pendidikan, kerjaya, kemahiran dan pembangunan sahsiah.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang berkata, pengisian pelbagai aspek dalam karnival itu memberi peluang kepada golongan muda berinteraksi, membina keyakinan diri dan mengembangkan potensi masing-masing.
Menurutnya, program yang menggalakkan aktiviti sihat dan interaksi sosial juga dapat membantu golongan belia menghadapi cabaran kehidupan dengan lebih positif.
“Pelbagai aktiviti yang kita jalankan ini merupakan jawapan kepada banyak perkara dalam kehidupan yang kita tempuhi pada hari ini.
“Aktiviti yang menggalakkan manusia berinteraksi dan menjalani kehidupan secara sihat seperti ini dapat membantu mengurangkan tekanan serta membawa kita ke tahap kehidupan yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan Karnival Tok Bok Nyo 3.0, di sini pada Jumaat.
Beliau turut menggesa pelajar memanfaatkan peluang yang disediakan menerusi karnival berkenaan bagi mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan, kerjaya dan kemahiran sebagai persediaan menghadapi kehidupan selepas tamat persekolahan.
Katanya, ilmu pengetahuan perlu disertai nilai tanggungjawab, disiplin dan keperibadian yang baik bagi membentuk generasi yang berjaya.
“Untuk anak-anak yang masih bersekolah dan bakal menghadapi kehidupan selepas sekolah, program seperti ini memberi pendedahan tentang apa yang perlu dilalui serta hala tuju yang boleh dipilih.
“Ilmu itu sangat penting. Kepada adik-adik yang masih bersekolah, teruskan belajar dan menimba ilmu kerana ilmu akan menjadi panduan dalam kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, Dato Idris turut mengingatkan golongan muda yang mencapai kejayaan agar tidak melupakan jasa ibu bapa, guru dan masyarakat yang membantu membentuk kejayaan mereka.
Sementara itu, Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali berkata, Karnival Tok Bok Nyo 3.0 yang berlangsung selama tiga hari sehingga 27 September dirangka dengan pelbagai pengisian khususnya untuk memberi manfaat kepada belia dan remaja.
Katanya, penganjuran dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Samarahan serta pelbagai agensi dan rakan strategik itu turut menyediakan ruang pembelajaran tidak formal kepada masyarakat.
Antara pengisian utama ialah program ‘You Wish Your Future’ yang memberi maklumat mengenai peluang pendidikan dan hala tuju selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain program pembangunan remaja melibatkan kira-kira 120 pelajar Tingkatan Enam dari tiga sekolah.
Program itu turut merangkumi ceramah berkaitan risiko buli, penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental, selain bengkel penulisan resume, komunikasi dan kepimpinan.
Karnival berkenaan turut mengetengahkan program Warisan Kita yang memberi pendedahan mengenai penghasilan kraftangan termasuk seni manik, selain aspek pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran bagi meningkatkan nilai komersial produk kreativiti tempatan.
Pelbagai aktiviti lain turut disediakan termasuk pertandingan Beyblade, Dark PlayStation, Tamiya, Mobile Legends, pertandingan masakan dan Super Casual, selain kempen derma darah.
Pada masa sama, reruai dan pameran agensi turut memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara terus mengenai pendidikan, latihan kemahiran, kerjaya, keselamatan sosial, pencegahan penyalahgunaan dadah dan pembangunan diri.
Antara agensi yang terlibat ialah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), ‘Advanced Technology Training Centre’ (ADTEC), Institut Pendidikan Guru, AADK, MyDigital ID, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), SABERKAS Muara Tuang dan MPKS.
Karnival Tok Bok Nyo 3.0 berlangsung dari 25 hingga 27 September 2026 di The Summer Shopping Mall, Kota Samarahan.
Turut hadir,Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Timbalan Pengerusi Perbandaran MPKS, Daily Joseph, Setiausaha Perbandaran MPKS, Zuraida Idris dan Ketua AADK Daerah Samarahan, Harni Tani. -EDISI UKAS