Premier Sarawak Hadiri Malam Bersejarah AIM25 Di BCCK
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menghadiri Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) yang mencipta sejarah apabila julung kali dianjurkan di Sarawak dan di luar Semenanjung Malaysia.
Berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada Sabtu, edisi Jubli Perak AIM25 itu menghimpunkan penggiat industri muzik tanah air dalam meraikan pencapaian, karya dan bakat seni muzik Malaysia.
Premier Sarawak yang hadir bersama anakandanya, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, tiba pada jam 9.30 malam.
Ketibaan beliau disambut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan serta dif-dif kenamaan lain.
Beliau kemudiannya memasuki dewan pada jam 10.20 malam bagi menyaksikan kemuncak penganjuran AIM25.
Penganjuran AIM25 di Sarawak turut mengetengahkan kepelbagaian muzik dari Sarawak dan Borneo, sekali gus mencerminkan keupayaan negeri ini menjadi tuan rumah acara berprestij bertaraf kebangsaan serta memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi penganjuran acara berskala besar.
Bersempena edisi Jubli Perak, AIM25 turut memperkenalkan dua kategori baharu, iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik bagi mengetengahkan kepelbagaian budaya dan muzik Malaysia.
Pada majlis itu, Datuk Patinggi Abang Zohari yang diiringi Dato Sri Abdul Karim turut menyampaikan Anugerah Lagu Borneo Terbaik kepada Mawat menerusi lagu Dayang Bintang.
Lagu ciptaan dan lirik Maxwel Franklin Saran yang diterbitkan di bawah MVM Music dan Assapai Music Production itu melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang sulung kategori Lagu Borneo Terbaik pada AIM25.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus