Ratu Kebaya 2026 Semarak Pesta Kanowit, Perkukuh Perpaduan Masyarakat
KANOWIT: Pertandingan Ratu Kebaya 2026 sempena Pesta Kanowit menjadi wadah memperkukuh perpaduan serta merapatkan hubungan masyarakat menerusi penglibatan peserta dan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana berkata, pertandingan berkenaan bukan sekadar mengetengahkan busana kebaya, malah memberi ruang kepada masyarakat berkumpul dan meraikan kepelbagaian dalam suasana kebersamaan.
“Pertandingan Ratu Kebaya 2026 ini bukan sekadar pertandingan. Ia juga merupakan satu platform untuk menyampaikan mesej perpaduan dan menyatukan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pertandingan berkenaan di tapak Pesta Kanowit, pada Sabtu.
Menurut Anyi, keberanian peserta mengambil bahagian turut memberi peluang kepada mereka mengetengahkan bakat dan potensi masing-masing.
Pertandingan yang disertai enam peserta itu menarik kehadiran ribuan pengunjung dengan Mesha Carlynie Jesse dinobatkan sebagai johan, selain memenangi Anugerah Kebaya Terbaik dan Miss Popular selepas menerima 310 tanda suka serta 9,500 perkongsian di media sosial.
Venneillise Lee pula menduduki tempat kedua, manakala Ainur Aisyah di tempat ketiga.
Anugerah Miss Photogenic pula dimenangi Marycia Slamat.
Tiga peserta lain, Michelle Demuny Utau, Anynnany Ilap Anthony Kasi dan Marysia Slamat, masing-masing menerima hadiah saguhati.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh isteri ADUN Ngemah, Gelim Utan dan isteri ADUN Machan, Dinamicayanti Daris.
Turut hadir ADUN Machan, Allan Siden Gramong; Pegawai Daerah Kanowit, Cerislogo Sabut; Pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Ngemah, Mohd Danial serta Pemancha Charlie Salang.- EDISI UKAS