Program Sarawakku Sayang Tonjol Keunikan Setiap Bahagian, Mukah Destinasi Seterusnya
BETONG: Keunikan dan identiti tempatan menjadi antara kekuatan Program Sarawakku Sayang (SKS) di setiap bahagian, di samping mendekatkan perkhidmatan kerajaan secara terus kepada rakyat.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, setiap lokasi penganjuran SKS menampilkan pendekatan dan identiti tersendiri menerusi kepelbagaian aktiviti, sajian makanan serta penglibatan komuniti setempat.
Menurut beliau, kelancaran program turut didukung kerjasama erat dalam kalangan jawatankuasa kerja yang saling membantu dalam memastikan setiap pengisian dapat dilaksanakan dengan baik.
“Setiap bahagian yang membuat program Sarawakku Sayang ada keunikan tersendiri, termasuk dari segi ‘kitchen’, makanan dan aktiviti yang dilakukan. Semua ini mencerminkan identiti tempatan,” katanya dalam temu bual bersama RTM pada Ahad.
Mengulas penganjuran seterusnya, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Program Sarawakku Sayang 2026 (Zon Tengah) memaklumkan Mukah bakal menjadi destinasi seterusnya selepas program di bahagian itu sebelum ini ditangguhkan berikutan keadaan jerebu.
“Kita harap keadaan jerebu akan bertambah baik supaya program di Mukah dapat dilaksanakan seperti dirancang di Tapak Dataran Pehin Setiaraja Mukah,” ujarnya.
Tambah beliau, antara komponen utama yang akan diketengahkan ialah Sarawak Pavilion, Mukah Kitchen and Sales serta majlis perasmian oleh Premier Sarawak, selain pelbagai aktiviti sampingan.
“Kita juga akan mengadakan Fun Walk dan Fun Run serta ‘Brisk Walk’ bersama Premier Sarawak, selain majlis penyampaian pingat perkhidmatan, malam kebudayaan dan konsert rakyat,” tambahnya.
Dalam pada itu, Datu Hii berkata beliau akan turun padang bagi meninjau tahap kesiapsiagaan di Mukah untuk memastikan segala persiapan berada pada tahap terbaik menjelang penganjuran program berkenaan.
Beliau turut berharap penyertaan masyarakat di Mukah akan lebih meriah, selaras dengan matlamat SKS untuk membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada rakyat.
“Perkhidmatan ini datang kepada rakyat, bukan rakyat yang perlu datang kepada perkhidmatan. Inilah yang dibawakan oleh Kerajaan Sarawak kepada semua,” katanya. -EDISI UKAS