Komuniti Gereja St Augustine Disaran Manfaat Peluang Pembangunan STOLport Bebuling
BETONG: Komuniti Gereja St Augustine Betong disaran memanfaatkan peluang ekonomi yang bakal terhasil daripada pembangunan STOLport Bebuling, Spaoh, khususnya dalam sektor pertanian dan pelancongan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, perkembangan pembangunan di kawasan Betong perlu dilihat sebagai peluang kepada komuniti setempat untuk meningkatkan kemahiran, pendapatan dan keupayaan mengurus aktiviti ekonomi.
Menurut beliau, komuniti gereja juga perlu mendapatkan pendedahan berkaitan industri pelancongan serta teknologi digital bagi menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.
“Dengan penglibatan dalam sektor-sektor ini, komuniti bukan sahaja berpeluang meningkatkan pendapatan, malah ia juga dapat membantu menambah dana gereja pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan St Augustine’s Church Betong Parish Sale 2026 di gereja tersebut, pada Ahad.
Beliau turut melihat Gereja St Augustine yang mempunyai sejarah kira-kira 100 tahun di Betong sebagai salah satu lokasi berpotensi diketengahkan sebagai tempat menarik, selain peranannya dalam pendidikan dan pembentukan sahsiah masyarakat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, penganjuran Parish Sale bukan sahaja bertujuan mengumpul dana, malah menjadi ruang kepada komuniti Kristian Anglican untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan.
Beliau berkata, justeru ia menyumbang kepada keharmonian masyarakat Betong.
Dalam pada itu, Datuk Gerald dan Dato Dr Richard Rapu masing-masing menyumbang RM5,000 kepada Gereja St Augustine Betong, menjadikan keseluruhan sumbangan RM10,000 bagi menyokong aktiviti dan keperluan gereja.- EDISI UKAS