Sembilan Tokoh Masyarakat Kajang Terima Anugerah Ikon Kencana Kajang 2026
BINTULU: Sembilan tokoh masyarakat Kajang menerima Anugerah Ikon Kencana Kajang 2026 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang pada Majlis Makan Malam Amal Persatuan Komuniti Etnik Kajang Sarawak (PKEKS), di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, PKEKS perlu terus memainkan peranan dalam memperkukuh pendidikan, pembangunan kepimpinan generasi muda, pemerkasaan ekonomi serta pemeliharaan budaya masyarakat Kajang.
Katanya, pendidikan perlu diberi perhatian bagi membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda dalam bidang teknologi digital, kejuruteraan, pertanian pintar, keusahawanan dan kerjaya profesional.
Majlis yang menghimpunkan kira-kira 500 tetamu itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada etnik di bawah naungan PKEKS serta cabutan tiket bertuah.
Turut hadir ialah Senator Michael Mujah Lihan, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, Pengerusi Persatuan Kajang Sarawak, Asan Saget serta Pengerusi Majlis Makan Malam Amal PKEKS, Kuba Lusat.- EDISI UKAS