Regatta Batang Kayan Lundu 2026 Satukan Komuniti Menerusi Sukan, Budaya & Warisan
LUNDU: Regatta Batang Kayan Lundu 2026 terus menyemarakkan semangat kebersamaan masyarakat apabila pelbagai acara sukan, kebudayaan, warisan dan hiburan mewarnai hari kedua penganjurannya pada Sabtu.
Antara acara yang menjadi tumpuan ialah perlumbaan regatta bagi merebut Piala Ahli Parlimen Santubong yang menyaksikan para pendayung mempamerkan kekuatan, ketangkasan dan semangat berpasukan dalam mengharungi cabaran perlumbaan di Batang Kayan.
Suasana turut dimeriahkan dengan Pertandingan Sukan Rakyat yang menghimpunkan peserta dan pengunjung dalam suasana santai serta penuh muhibah.
Dalam mengetengahkan keunikan warisan makanan tradisional Sarawak, Pertandingan Membuat Penyaram turut diadakan bagi memberi ruang kepada peserta mempamerkan kemahiran menghasilkan kuih tradisional berkenaan.
Pertandingan Memanah pula menguji ketepatan, fokus dan kemahiran peserta, sekali gus menjadi antara tarikan kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.
Pengisian sukan turut diperkasakan menerusi sepak mula Piala Liga Bola Sepak Lundu 2026 di Kompleks Sukan Lundu yang menambah kemeriahan penganjuran regatta berkenaan.
Hadir memeriahkan program ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, ADUN Opar, Billy Sujang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Abang Draup, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu, Datuk Amar Jamilah Anu, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail.
Pada sebelah malam, Konsert Rakyat yang menampilkan Ameng Spring, Carrie Geres dan Rannee Pat terus menghangatkan suasana serta menarik kehadiran pengunjung.
Kemeriahan malam turut diserikan dengan pertunjukan bunga api yang menerangi ruang udara Lundu, sekali gus menjadi antara detik kemuncak hari kedua regatta.
Penganjuran pelbagai aktiviti itu menyerlahkan Regatta Batang Kayan Lundu 2026 bukan sekadar acara perlumbaan perahu, malah menjadi wadah menghimpunkan masyarakat menerusi sukan, budaya dan warisan dalam suasana penuh semangat kebersamaan.
Kemeriahan dijangka terus memuncak pada Ahad menerusi acara hari terakhir serta Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan Lundu 2026 yang dijadualkan disempurnakan oleh Premier Sarawak.
Majlis berkenaan sekali gus bakal menutup tirai penganjuran regatta tahun ini dengan acara kemuncak yang dinanti-nantikan. -EDISI UKAS