PPWS Pichin, Serian Digesa Terus Perkukuh Peranan Wanita Dalam Pembangunan Komuniti
SERIAN: Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Pichin dan PPWS Daerah Serian digesa terus memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan serta kesejahteraan masyarakat di peringkat akar umbi.
Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem berkata, penglibatan aktif PPWS menerusi pelbagai program kemasyarakatan penting dalam memastikan golongan wanita terus mempunyai ruang untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti.
Menurut beliau, komitmen PPWS Kampung Pichin dan PPWS Daerah Serian dalam melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita dan masyarakat setempat wajar diteruskan secara berterusan.
“Diharapkan PPWS akan terus aktif dan komited dalam melaksanakan peranan serta tanggungjawabnya agar pertubuhan ini terus berkembang dan maju seiring dengan pertubuhan atau persatuan lain di peringkat daerah, bahagian dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesra PPWS Pichin di Dewan Tayung Langui, Kampung Pichin, di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Richard berkata, peranan PPWS sejak penubuhannya turut menunjukkan kepentingan pertubuhan wanita sebagai wadah melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada golongan wanita serta komuniti setempat.
Katanya, kesinambungan aktiviti PPWS perlu dipertahankan supaya penglibatan wanita dalam pembangunan masyarakat dapat terus diperluas.
Majlis tersebut turut menjadi platform menghargai sumbangan dan penglibatan ahli PPWS, selain memperkukuh hubungan antara pertubuhan wanita, pemimpin setempat dan komuniti.
Majlis Makan Malam Mesra PPWS Pichin itu dihadiri kira-kira 600 orang.-EDISI UKAS